Monday, September 30, 2019

Perkauman dan Perpaduan







Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India, Iban dan lain-lain. Walaupun negara lain juga mempunyai berbilang bangsa dan kaum yang menetap di bawah satu negara tetapi negara lain tidak seharmorni negara Malaysia dimana rakyatnya walaupun berbilang kaum mampu makan satu meja dan saling menghormati anatara satu sama lain.
Kemajmukan masyarakat ini yang berbilang kaum ini membawa banyak cabaran kepada rakyat Malaysia. 'Rambut sama hitam hati lain-lain' adalah peribahasa yang tepat jika kita membanding satu individu dengan yang lain. Inikan pula apabila kita membanding satu kelompok manusia dengan kelompok lain yang berbeza warna kulit, bahasa dan agama. Peristiwa hitam seperti kejadian 13 Mei 1969 dan rusuhan Kampung Medan mengajar kita tentang satu perkara penting. Perpaduan kaum merupakan satu elemen yang wajib untuk mengekalkan keamanan sesebuah negara. Oleh yang demikian, kerajaan sentiasa meletakkan perpaduan di tempat pertama dan perkembangannya adalah selaras dengan pembangunan negara.

PERPADUAN DAN PERKAUMAN

Perpaduan

Perpaduan bermaksud suatu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Selain itu, Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita.

Perkauman

Perkauman pula bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.

Apabila kita menyentuh tentang isu isu perkauaman ia bermaksud isu isu yang melibatkan hubungan antara kaum atau bangsa dalam aspek penggunaan bahasa, agama, tingkah laku, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan, rasisme dan seumpamanya. Isi isu ini tidak boleh dibahaskan secara terbuka kerana ia akan membawa api permusuhan hasil daripada salah satu pihak yang tidak berpuas hati atau kurang senang dengan perbahasan tersebut. Hal ini  mampu membuat sesbuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum hancur dan mengurangkan keharmonian sesebuah negara yang dulunya aman dan damai.


PUNCA ISU PERKAUMAN DAN PERPADUAN

1. Aspek individu.

Kadang kala wujudnya isu perkauman ini berpunca daripada individu sendiri. Hal ini berlaku disebabkan keinginan individu sendiri yang mana mahu menjadi orang yang pertama yang mengetahui atau menyebar sesuatu berita tanpa membuat pemeriksaan terhadap sumber berita tersebut. Erti kata lain, sesetengah individu tidak “ tabbayun” terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesebuah berita. Jika seseorang individu menyebarkan berita yang palsu, pasti dan pasti akan tercetusnya rasa kurang senang daripada pihak lain dan hal ini mampu merosakkan keharmonian sesebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Antara contoh perkara yang akan dilakukan oleh individu ialah tidak mahu bergaul dengan berlain bangsa seperti tidak mahu menyertai gotong royong yang selalu akan diadakan di setiap taman atau kawasan penduduk.

2. Aspek kerajaan.

Pihak kerajaan juga merupakan antara penyebab utama kemeruduman atau melemahkan semangat perpaduan kaum. Isu politik, isu rakyat dan isu perkauman yang terpapar di kaca televisyen dan dada akhbar sering dikaitkan dengan kegagalan kerajaan membentuk Negara yang penuh perpaduan. Kesannya, kawalan keselamatan Negara dipandang rendah dan semakin mundur yang disebabkan kerajaan sendiri yang gagal mengawal dan membentuk sebuah persekitaran yang harmoni antara kaum. Tambahan pula, Negara akan menjadi huru hara dengan perhimpunan haram dan perbalahan akibat daripada perpaduan yang semakin pudar. Antara contoh yang boleh kita lihat apabila kerajaan tidak mampu membendung masalah isu perkauman ini ialah peristiwa 13 Mei 1969. Ia merupakan tarikh berdarah buat tragedi rusuhan perkauman yang menyedihkan ramai pihak. Selepas 47 tahun ia berlaku, terdapat tanda-tanda yang ia akan berlaku sekali lagi. Tragedi ini bukan sahaja menyebabkan hilangnya perpaduan kaum tetapi juga kehilangan nyawa orang tersayang.


ANTARA PERISTIWA PERKAUMAN YANG BERLAKU DI MALAYSIA

1. Peristiwa 16 Mei 1969

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Peristiwa ini juga dikenali sebagai peristiwa berdarah buat Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk. Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah dirancang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi satu set dokumen yang baru dideklasifikasikan di London, telah membuka peluang kepada ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.

Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu yang disokong oleh polis dan tentera untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu. Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan 'samseng Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut. Sebagai contohnya, kata beliau, "sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru" pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku. Tambahnya, dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberikuasa penuh untuk mentadbir negara satu petanda wujudnya komplot mengenainya. Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan telahpun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (diumumkan pada 1971).

2. Perkauman yang berlaku dalam pendidikan di Malaysia

Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Maksudnya di sini adalah, pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu, pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan, manakala, pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil.

Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk persefahaman dalam kalangan pelajar. Situasi hanya akan menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja.Kesan bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak akan menerima bahasa ibunda kaum yang lain. Ini adalah mereka akan menganggap adalah tidak wajar dan tidak penting untuk mempelajari bahasa kaum yang lain.

Selain itu, adalah menjadi satu kemestian di mana setiap sekolah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Ianya akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pembangunan negara kerana mempunyai pendidikan yang berbeza-beza. Tidak juga dilupakan bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga melahirkan para pemimpin untuk mentadbir negara Malaysia pada satu hari kelak. 

PENYELESAIAN BAGI ISU PERKAUAMAN YANG TIMBUL

1. Penyelesaian melalui pendidikan

Persefahaman kaum juga dapat dipupuk sejak dari kecil secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi dan mengadakan hubungan antara kaum. 

Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional. Hal ini mampu untuk melahirkan rasa sayang antara satu sama lain yang berlain bangsa. Selain itu, ia mampu untuk membentuk sesebuah persekitaran yang harmoni antara kaum sejak dari kecil melalui sekolah.

2. Pihak kerajaan mewujudkan konsep 1Malaysia.
Diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

3. Pihak kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Program PLKN ini mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara dan mampu untuk meningkatkan hubungan antara kaum dengan lebih erat. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.

Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman antara satu sama lain yang lebih erat mampu memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home